PUTRAJAYA – Seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla Malaysia kini dilaporkan sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum terbang ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Emirates.
Menurut sumber Kosmo!, kesemua mereka tiba di Dubai selepas terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada awal pagi tadi.
“Mereka sudah tiba di Dubai dan akan ke Kuala Lumpur selepas ini,” katanya ringkas kepada Kosmo! hari ini.
Berdasarkan informasi di aplikasi Flightradar24, penerbangan Emirate dari Dubai ke Kuala Lumpur dijadualkan pada pukul 10.25 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba kira-kira pukul 9.50 malam nanti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Terdahulu, semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.
Mereka berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Nur Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Norfarahin Romli (Farah Lee), Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan (PU Rahmat) dan Nurul Hidayah Mohd. Amin (Ardell Aryana).
Kerajaan juga akan mengajurkan satu majlis khas pada esok di Axiata Arena Bukit Jalil bagi meraikan sumbangan aktivis berkenaan. – KOSMO! ONLINE