KUALA LUMPUR– Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menghadiri Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-270 yang berlangsung di Istana Negara.
Menerusi laman sosial rasmi Sultan Ibrahim, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Turut berangkat, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, selaku wakil rasmi Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Pra-mesyuarat ini diadakan sebagai persiapan sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-270, yang menghimpunkan semua Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri bagi membincangkan hal-hal penting berkaitan urusan negara dan institusi diraja.- KOSMO! ONLINE