fbpx
Gambar hiasan

Ubat-ubatan dibenarkan masuk penjara rawat aktivis Sumud Flotilla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) memaklumkan bahawa pihak Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) akhirnya membenarkan kemasukan ubat-ubatan ke dalam penjara selepas beberapa siri desakan undang-undang dan lawatan diplomatik oleh wakil kedutaan asing.

Langkah itu dibuat selepas Adalah berulang kali menuntut agar tahanan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) diberikan rawatan serta akses kepada ubat-ubatan, berikutan laporan bahawa sebahagian daripada mereka mengalami masalah kesihatan dan tidak menerima penjagaan perubatan mencukupi sejak ditahan Israel.

Menurut kenyataan rasmi Adalah yang dikeluarkan pukul 11 malam tadi (waktu tempatan), pihaknya telah dimaklumkan bahawa sekitar 170 peserta GSF akan dihantar pulang hari ini tanpa sebarang maklumat lanjut mengenai nama, kewarganegaraan atau destinasi akhir mereka.

“Tindakan ini menyusuli pengusiran kira-kira 170 peserta sebelum ini yang dijalankan semalam dan hari ini, di mana kebanyakannya telah diterbangkan ke Istanbul, manakala kumpulan yang lebih kecil dihantar pulang ke Itali dan Sepanyol,” katanya.

Dalam kenyataan sama memaklumkan, walaupun Adalah telah melakukan beberapa lawatan ke penjara semalam, pihaknya masih tidak dibenarkan berjumpa dengan semua tahanan.

“Pihak IPS hanya membenarkan lawatan selama 30 minit, di mana peguam sempat bertemu dengan kesemua 11 peserta dari Tunisia dan semuanya kini sedang melancarkan mogok lapar.

“Para peserta Tunisia memaklumkan bahawa ramai peserta lain juga turut melakukan mogok lapar. Peserta-peserta turut mengesahkan kepada peguam bahawa berlaku serangan dan keganasan secara meluas ketika mereka dipindahkan dari pelabuhan ke penjara serta dalam beberapa hari pertama penahanan mereka,” jelasnya.

Adalah menambah, keadaan semasa di dalam penjara kini dilaporkan relatif stabil, namun terdapat kebimbangan berterusan terhadap kesihatan peserta ekoran tindakan mogok lapar selain kekurangan rawatan perubatan yang mencukupi.

“Adalah akan terus memantau rapat keadaan peserta flotila yang masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel, menuntut akses penuh bagi lawatan peguam walaupun berdepan sekatan IPS.

“Serta berusaha memastikan perlindungan hak semua tahanan sehingga mereka dibebaskan dan dihantar pulang dengan selamat ke negara masing-masing,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI