KUALA LUMPUR – Tidak mencuci pinggan dan mengemas dapur menjadi punca seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dipukul oleh bapanya sehingga bertindak melarikan diri dari rumah di Kepong, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bapa mangsa yang ditahan semalam, bekerja sebagai tukang paip dan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Suspek berusia 42 tahun direman selama empat hari sehingga 8 Oktober ini. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas reman tamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memukul anaknya sehingga kanak-kanak itu melarikan diri dari rumah.
Fadil dilaporkan berkata, kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang sebelum ditemui orang awam di sebuah kedai di Metro Prima.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh doktor mendapati mangsa mengalami lebam di bawah bibir, calar pada bahagian belakang badan dan sakit pada bahagian kepala.
Menurutnya, suspek ditahan sekitar pukul 4.40 petang ketika hadir membuat laporan mengenai kehilangan mangsa di Balai Polis Kepong, di sini semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE