fbpx
LIZA Hanim tidak menjadikan pertambahan minggu pertandingan program Talk To My Manager sebagai isu besar atau sikap berat sebelah produksi terhadap mana-mana peserta.

‘Thalita, Shuib ada atau tidak, tiada isu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tiada isu berat sebelah, penyanyi Liza Hanim mendedahkan keputusan pihak produksi menambah satu minggu lagi untuk konsert akhir Talk To My Manager (TTMM) sudah dimaklumkan lebih awal kepada semua peserta.

Menurut Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 46, pihak produksi terlebih dahulu bertanyakan jadual mereka sejak minggu keempat lagi dan menetapkan tarikh baharu bagi pentas akhir pada minggu hadapan.

“Kami dah tahu akan ada tambahan minggu. Dari minggu keempat lagi pihak produksi dah tanya sama ada kami boleh atau tidak untuk tarikh 12 Oktober. Kami pun setuju.

“Jadi kami cuma perlu bertahan sampai ke tarikh itu supaya tidak tersingkir. Tapi walaupun dah tahu ada minggu tambahan, bukan bermakna kami ambil mudah.

“Setiap persembahan tetap kena buat sehabis baik sebab itulah yang akan diingati sampai bila-bila,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya mengenai segelintir pihak yang mendakwa keputusan memberi peluang kepada Thalita mara ke pentas akhir meskipun tidak membuat persembahan sebagai tidak adil, pelantun Gelisah Mimpi itu menegaskan perkara tersebut tidak sepatutnya diperbesarkan.

“Saya rasa tiada isu pun. Sama ada Thalita dan Shuib ada atau tidak, mereka memang akan mara ke pusingan seterusnya sebab perkara itu sudah dimaklumkan lebih awal.

“Sebenarnya kami semua sedih sebab Thalita tak dapat buat persembahan dua minggu ini. Kami harap mereka berdua kembali sihat supaya kita boleh tamatkan TTMM sama-sama,” ujarnya pada sidang media minggu ketujuh Talk To My Manager di sini, semalam.

Dalam konsert minggu ketujuh, Marsya tampil memukau apabila dinobatkan sebagai penerima Persembahan Terbaik selepas membawakan lagu Bring Me To Life nyanyian asal kumpulan Evanescence sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sebelum ini, pengacara TTMM, Datuk Aznil Haji Nawawi membuat kejutan dengan mengumumkan penambahan satu minggu lagi bagi pentas Grand Finale selepas rancangan tersebut menerima sambutan luar biasa daripada peminat.

Kejutan itu sekaligus menyaksikan enam pasangan bintang iaituMarsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) dan Auddra (Sharifah Shahirah) bakal kembali berentap di pentas akhir Talk To My Manager pada 12 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI