KUALA LUMPUR – Sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas bermula hari ini dengan tumpuan utama kepada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2026.
Sidang ini akan berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul berkata pada minggu pertama persidangan akan memberi tumpuan kepada penerangan penyata oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan dan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara.
Selain itu Dewan Rakyat juga akan menumpukan kepada penerangan oleh Menteri-menteri serta pembentangan beberapa Rang Undang-undang.
“Buat pertama kali, satu hari penuh diperuntukkan bagi urusan penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh akauntabiliti Badan Eksekutif kepada Dewan Rakyat.
“Langkah ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat tentang fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam membincangkan isu semasa,” katanya dalam ucapan pembukaan, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, Johari turut menjawab dakwaan bahawa setiap Rang Undang-undang wajib dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Kementerian (JKPK).
Beliau menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a) hanya memperuntukkan tanggungjawab JKPK untuk meneliti Rang Undang-undang selepas bacaan pertama, dan bukan sebahagian daripada proses kelulusan undang-undang.
“Pembentangan kepada JKPK adalah platform bagi mendapatkan maklum balas awal daripada kementerian, bukan syarat sah kelulusan Rang Undang-undang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar pentafsiran Peraturan Mesyuarat dibuat secara menyeluruh dan tidak selektif bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan kewibawaan Dewan.
Dalam ucapannya, Johari turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Persidangan Agung ke-46 ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) yang berlangsung di Parlimen Malaysia dari 16 hingga 22 September lalu.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran AIPA 46 memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah cemerlang dalam kalangan negara serantau dan pemerhati.
“Kerjasama erat daripada semua pihak termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai Parlimen dan media telah menyerlahkan kecemerlangan kita di mata dunia,” katanya.- KOSMO! ONLINE