KARACHI – Berpuluh-puluh ribu orang membanjiri hab komersial Pakistan, Karachi kelmarin bagi memperingati ulang tahun kedua perang Israel ke atas Gaza, dengan orang ramai menyeru masyarakat antarabangsa memecah kebuntuan mengenai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di wilayah Palestin, lapor agensi berita Anadolu.
Dengan mengibarkan bendera Palestin dan selendang tradisional keffiyeh, lelaki, wanita dan kanak-kanak memenuhi jalan utama Shara-e-Faisal di Karachi sebagai sebahagian daripada gelombang protes baharu di seluruh Pakistan.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Jamaat-e-Islami (JI) iaitu parti politik arus perdana yang telah mengetuai banyak bantahan di seluruh Pakistan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut penganjur, lebih 100,000 orang menghadiri perhimpunan itu, manakala sumber bebas menyatakan jumlah mereka adalah antara 50,000 hingga 60,000 orang.
Pemimpin masyarakat Hindu, Sikh dan Kristian turut menghadiri perhimpunan itu yang merupakan perarakan besar kedua sejak dua hari lalu.
Pada Sabtu lepas, berpuluh-puluh ribu orang menghadiri perarakan serupa di bandar Lahore, timur laut Pakistan.
“Gaza adalah simbol penentangan di mana penduduknya menghadapi kekejaman Israel yang disokong Barat sejak dua tahun lalu,” kata ketua JI, Hafiz Naeem-ur-Rehman.
Beliau turut memuji Hamas kerana diplomasi bijak yang telah menggagalkan rancangan Amerika Syarikat dan Israel untuk mengasingkan gerakan penentangan tersebut.
“Warga Pakistan menyokong Palestin dan Hamas. Pengorbanan merekalah yang telah mendedahkan kezaliman Israel dan Rejim Zionis di seluruh dunia, malah di Barat,” katanya. – AGENSI