KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mencatatkan prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024 berada pada landasan kukuh.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata defisit berjaya dikurangkan kepada RM79.17 bilion, berbanding RM91.39 bilion pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata penurunan defisit sebanyak RM12.22 bilion itu turut menjadikan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut kepada 4.1 peratus, lebih baik daripada sasaran Belanjawan 2024 iaitu 4.3 peratus.
“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, laporan tersebut turut menegur kelewatan Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah, yang masih belum disiapkan sehingga Julai 2025 meskipun tarikh siap asal ditetapkan pada 16 November 2024.
Projek yang dirancang sejak 2016 itu diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 namun masih berdepan pelbagai kekangan, termasuk kelewatan pembinaan bangunan penempatan semula, struktur utama yang belum siap, serta pembinaan jeti yang belum dimulakan.
LKAN terdiri daripada 14 naskah terdiri satu naskah LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan aktiviti kementerian, jabatan, syarikat Kerajaan Persekutuan.
13 naskah LKAN yang lain pula mengenai Penyata Kewangan Kerajaan dan agensi negeri.
Wan Suraya juga memaklumkan penyata tersebut menunjukkan gambaran benar dan saksama dengan rekod perakaunan yang teratur dan kemas kini.
Beliau turut mengesahkan bahawa Jabatan Audit Negara memberikan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters) terhadap penyata kewangan tersebut.
Bagi peringkat negeri, sebanyak 13 penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 turut diaudit.
Empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu menerima Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion), manakala sembilan negeri lain termasuk Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor menerima Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain
Mulai tahun ini, Jabatan Audit Negara memperluaskan skop pengauditan terhadap 1,856 badan dan syarikat kerajaan melalui Sistem e-SelfAudit, satu inovasi audit berasaskan pendigitalan yang membolehkan proses semakan dilakukan secara lebih pantas dan menyeluruh.
Pendekatan baharu ini menilai tiga aspek utama, iaitu pencapaian mandat dan objektif penubuhan, pematuhan tatakelola, serta prestasi kewangan badan yang diaudit.- KOSMO! ONLINE