PETALING JAYA – Laman Sistem Pengurusan Pertandingan (CMS) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah digodam oleh penjenayah siber yang menuntut bayaran sebanyak AS$7000 (RM29,505) daripada badan induk bola sepak negara itu.
Menerusi mesej yang disiarkan di laman cms.fam.org.my itu, pihak terbabit mahukan bayaran pampasan dalam tempoh 12 jam sekiranya tidak mahu data digodam.
“Sekiranya anda pemilik domain, klik butang di bawah untuk membuat pembayaran sebanyak AS$7000 (RM29,505).
“Bagi tujuan keselamatan, jika bayaran tidak dibuat dalam tempoh 13 jam, semua pangkalan data akan dipadam secara automatik,” kata mesej yang tertera di laman itu.
CMS adalah sistem utama yang digunakan FAM untuk menyimpan data pemain, statistik perlawanan, pendaftaran pasukan serta dokumen pertandingan.
Sehingga kini, FAM belum mengeluarkan kenyataan rasmi, tetapi situasi ini didakwa berkait rapat dengan isu melibatkan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikenakan kepada FAM pada 26 September lepas. – KOSMO! ONLINE