KEMAMAN – Hasrat seorang penjawat awam untuk mencari pendapatan tambahan menerusi kerja sambilan dalam talian bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula kerugian RM123,705 apabila diperdaya sindiket pekerjaan yang tidak wujud.
Wanita berusia 48 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, pada mulanya, pembantu tadbir wanita berkenaan menerima hadiah berupa mop lantai setelah memberi komen di dalam sebuah akaun TikTok pada 30 September lalu.
“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan menerima pautan kerja sambilan.
“Dia kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Telegram pula dijanjikan komisyen kononnnya RM80 bagi setiap tugasan diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, sebelum memulakan kerja sambilan tersebut, penjawat awam terbabit telah diarahkan untuk membayar pakej permulaan sebanyak RM205.
Beliau berkata, selain itu, wanita tersebut turut membayar keseluruhan RM123,705 bagi setiap tugasan lain dilakukan.
“Pembayaran berkenaan menerusi 19 transaksi ke dalam lapan akaun bank berasingan diberi suspek dalam tempoh dua hari sehingga semalam tanpa memperolehi apa-apa pulangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE