WASHINGTON – Serangan dron menyasarkan flotila Gaza bulan lalu di Tunisia didapati diluluskan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, lapor portal berita Middle East Eyes semalam yang memetik satu siasatan.
Saluran berita CBS News memetik sumber perisikan Amerika Syarikat (AS) sebagai mengesahkan bahawa serangan ke atas Global Sumud Flotilla(GSF) di Tunisia pada 8 dan 9 September lalu dilancarkan oleh Israel daripada sebuah kapal selam.
Sumber yang enggan nama mereka didedahkan itu berkata, serangan tersebut adalah provokasi sengaja dan berlaku ketika Presiden Donald Trump berusaha untuk menamatkan perang di Gaza.
Laporan itu menolak dakwaan penyokong Israel bahawa kebakaran di atas kapal GSF berpunca daripada salah guna pistol suar oleh aktivis-aktivis misi tersebut.
Dalam kenyataan pada Jumaat lalu, pihak flotila berkata, mereka sudah mengesyaki Israel bertanggungjawab terhadap serangan yang tidak mengorbankan nyawa itu.
“Penglibatan Israel tidak mengejutkan kami. Ia hanya menunjukkan pola keangkuhan. Sama ada tujuannya untuk membunuh, menakutkan kami atau melumpuhkan bot, ia tetap membahayakan orang awam dan sukarelawan kemanusiaan,” kata mereka.
Mereka menyeru siasatan bebas dan akauntabiliti penuh terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Serangan itu mengenai bot utama flotila, Family Boat yang berdaftar di Portugal di pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia. – AGENSI