fbpx
SELAKU ibu dan pengurus, Siti Saerah memainkan peranan besar membentuk Amad menjadi penyanyi yang berhemah tinggi.

‘Minta maaf, Amad masih terkejut dengan populariti mendadak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Anak didakwa bersikap kurang sopan, pengurus juga ibunya, Siti Saerah mengakui sedia maklum perihal tersebut malah sudah pun menegur putera kesayangannya iaitu Ahmad Dayyan agar terus memperbaiki diri.

Ujar Saerah atau nama sebenarnya Siti Saerah Tarudin, 42, kejadian tersebut berlaku di luar jangkaan dan berpunca daripada ketidaksediaan anaknya berdepan dunia populariti yang datang secara tiba-tiba.

“Dalam usia muda dan baru mengenal dunia seni, Amad masih terkejut dengan perhatian orang ramai. Jadi saya faham kalau ada ketika dia tersalah bawa diri.

“Saya dah pesan kepadanya supaya jangan terlalu ambil hati dengan komen netizen. Saya hanya menegur agar dia belajar daripada kesilapan tanpa memberi tekanan. Saya percaya Amad anak yang baik dan boleh berubah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pun begitu, adik kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu tidak menafikan dirinya merasa terkilan apabila situasi sebenar temu bual tersebut disalah tafsir selepas tular dalam media sosial hingga mengundang kecaman ramai.

“Sebenarnya, Amad langsung tidak berniat untuk bersikap biadab. Kata-katanya mungkin kedengaran lain apabila dirakam dan disunting.

“Saya pun agak sedih baca komen-komen negatif kerana orang di luar tidak tahu suasana sebenar ketika temu bual berlangsung.

“Tapi tak mengapa, saya terima teguran. Saya juga akan betulkan cara Amad berdepan dengan media selepas ini. Sedikit demi sedikit, dia akan belajar dan matang,” ujarnya pada sidang media minggu ketujuh Talk To My Manager di sini, semalam.

Mengakui anaknya masih hijau dalam industri, Saerah memahami tekanan yang datang bersama perhatian ramai namun sebagai ibu, dia tetap percaya Amad mampu memperbaiki diri.

“Hanya saya yang betul-betul faham perangai Amad. Kadang-kadang dia bergurau dengan niat menceriakan suasana, tapi orang luar tak tahu konteks sebenar.

“Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya tutur kata anak saya menyinggung mana-mana pihak.

“Sebagai ibu, saya akan terus membimbing dan mendidik dia dengan lebih baik. Doakan Amad lebih berhati-hati dan belajar daripada kesilapan,” luahnya.

Terdahulu, Amad dikritik netizen selepas rakaman temu bual bersama pengamal media tular dalam platform sosial kerana didakwa memberi respon sambil lewa dan kurang sopan.

Perbandingan turut dibuat dengan kakaknya, penyanyi Umairah, yang dianggap lebih petah berkomunikasi serta tampil profesional di hadapan media.— KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI