KOTA BHARU – Mayat seorang lelaki yang dipercayai warga asing dijumpai dalam keadaan reput dengan dibaluti selimut di tepi Sungai Kelantan dekat belakang Masjid Jamek Muhammadi, di sini semalam.
Mayat yang disyaki sudah meninggal dunia dalam anggaran tempoh lima hingga tujuh hari itu ditemukan oleh orang awam di kawasan tersebut kira-kira pukul 10.20 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa tidak dapat dikenal pasti warganegara memakai seluar jean paras lutut berwarna biru dan keadaannya sudah mereput.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini dan hasil bedah mendapati mangsa tiada suntikan bacillus calmette guerin (BCG).
“Mangsa juga didapati sudah meninggal dunia dalam tempoh anggaran lima hingga tujuh hari. Selain itu, tiada sebarang kecederaan luaran pada badan lelaki itu.
“Punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang telah mereput dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat itu diminta memberi keterangan dengan menghubungi Sarjan Mohd. Fazle Mat Ali di talian 018-243 6955 atau balai polis yang berhampiran.- KOSMO! ONLINE