PETALING JAYA – Malaysia dan Pakistan menandatangani lima Memorandum Persefahaman (MOU) serta satu Pertukaran Nota sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Majlis pertukaran dokumen tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.
Anwar dalam kenyataan di Facebook berkata, kelima-lima MOU berkenaan merangkumi bidang pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan rasuah, pelancongan serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, Pertukaran Nota memberi tumpuan kepada latihan bersama untuk para diplomat dari kedua-dua negara.
“Dalam sidang akhbar bersama kami turut mengulangi tekad dan aspirasi untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam beberapa bidang baharu berimpak tinggi seperti teknologi digital, industri semikonduktor dan pendidikan STEM,” tulisnya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut menzahirkan kesepakatan dalam isu kemanusiaan antarabangsa, khususnya mengenai krisis di Gaza.
Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan sejagat bahawa segala bentuk pembunuhan dan pembantaian terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan segera.
“Keutamaan harus diberikan kepada perlindungan hak asasi rakyat Palestin serta usaha berterusan bagi merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Shehbaz diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, hari ini sempena lawatan rasmi tiga hari pemimpin itu ke Malaysia.
Ketibaan Muhammad Shehbaz pada pukul 10 pagi disambut Anwar dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin. – KOSMO! ONLINE