fbpx
Anwar bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif serta delegasi ketika mesyuarat dua hala. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

Malaysia, Pakistan desak tindakan konkrit tamat penderitaan rakyat Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Malaysia dan Pakistan menetapkan ketetapan bahawa dunia Islam perlu mengambil tindakan konkrit dalam usaha menghentikan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan sejak sekian lama menuntut komitmen masyarakat antarabangsa di mana ia bukan sekadar kenyataan simpati semata-mata.

“Saya amat menghargai usaha dan kenyataan terkini Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif khususnya dalam isu Palestin dan Gaza.

“Bersama-sama kita menegaskan bahawa mesti ada tindakan yang konkrit untuk menamatkan penderitaan berjuta-juta penduduk Gaza dan Palestin,” katanya pada sidang akhbar bersama di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shehbaz diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra hari ini sempena lawatan rasmi tiga hari pemimpin itu ke Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong inisiatif damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden Donald Trump, walaupun kerajaan mempunyai beberapa keraguan terhadap sebahagian isi cadangan itu.

Bagaimanapun, kata Anwar, penghentian segera serangan dan pembunuhan oleh rejim Zionis perlu menjadi keputusan bersama dunia Arab dan negara Islam.

“Sekurang-kurangnya apabila pengeboman dan pembunuhan dihentikan oleh rejim Zionis di Gaza, itu satu keputusan yang mesti dibuat secara kolektif oleh negara-negara Arab dan Islam,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan negara di dunia termasuk dengan sokongan dan komitmen Amerika Syarikat diyakini akan dapat membantu merealisasikan keamanan yang diidamkan rakyat Palestin.

Anwar menegaskan, Malaysia dan Pakistan berada di pihak yang benar dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin yang tertindas.

“Insya-Allah, pendirian bersatu kita dalam menyokong inisiatif damai ini mungkin dapat membantu merealisasikan aspirasi untuk keamanan yang berkekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI