ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki termasuk etnik Rohingya yang aktif mencuri kabel dalam dua serbuan di Gelang Patah dan Masai, Pasir Gudang bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan berusia 38 tahun di Gelang Patah pada 27 September lalu.
Katanya, susulan itu, polis menahan rakan suspek iaitu lelaki etnik Rohingya berusia 31 tahun di Taman Cahaya Kota, Masai pada 29 September lalu.
“Kita merampas satu guni berisi kabel pelbagai warna dan saiz seberat lapan kilogram. Mereka aktif mencuri kabel sejak bulan lalu dan menyasarkan stor tapak pembinaan dan kilang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Kumarasan berkata, suspek dipercayai menjual barangan curi itu di tempat barangan lusuh di Kota Masai.
Katanya, suspek tempatan mempunyai rekod jenayah dan dadah. Lelaki itu juga positif dadah methamphetamine. Suspek warga Myanmar pula tiada rekod jenayah.
Kedua-dua suspek dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu membantu menyembunyikan harta curi dan Seksyen 447 kanun sama kerana menceroboh. -KOSMO! ONLINE