SINGAPURA – Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan kelmarin selepas dia baring melintang di tengah Jalan Serangoon, Singapura pada awal pagi sehingga menghalang lalu lintas, lapor portal berita The New Paper.
Polis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu di 900 Serangoon Road kira-kira pukul 2.25 pagi (waktu tempatan).
Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan masih dijalankan.
Dalam rakaman video yang dimuat naik di halaman Facebook Beh Chia Lor – Singapore Road semalam, sebuah kereta dilihat terpaksa membrek mengejut walaupun lampu isyarat hijau.
Ini kerana lelaki tersebut berbaring melintang di salah satu daripada empat lorong jalan besar itu.
Lelaki itu dipercayai mabuk.
Jika didapati bersalah, lelaki berkenaan boleh dipenjara sehingga sebulan, denda sehingga SGD$1,000 (RM3,256) atau kedua-duanya sekali. – AGENSI