TEL AVIV – Aktivis Sweden, Greta Thunberg akan menjadi antara lebih 70 orang pelbagai warganegara yang akan meninggalkan Israel hari ini selepas mereka diculik di atas kapal bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza minggu lalu.
Kebanyakan mereka yang dibebaskan dari tahanan Israel akan diterbangkan ke Greece sebelum menaiki penerbangan ke negara asal mereka, kata kerajaan masing-masing semalam.
Mereka yang dibawa keluar dari Israel hari ini termasuk 28 warga Perancis, 27 Greece, 15 Itali dan sembilan Sweden.
Seramai 21 rakyat Sepanyol secara berasingan kembali ke negara itu semalam.
Pembebasan itu meninggalkan beberapa aktivis yang masih berada dalam tahanan Israel, termasuk 28 warga Sepanyol.
Kementerian Luar Itali dan Greece berkata, warganegara itu yang dibebaskan akan diterbangkan ke Athens hari ini, manakala Kementerian Luar Perancis berkata, 28 rakyatnya juga akan diterbangkan ke Greece.
Kementerian Luar Sweden tidak menyatakan ke mana rakyatnya akan diterbangkan tetapi media tempatan berkata, mereka juga berkemungkinan berada dalam penerbangan ke Greece.
Sementara itu, seorang wartawan untuk laman berita Fanpage, Saverio Tommasi berkata, dia dipukul di belakang dan di kepala oleh penculik Israel.
“Kami dilayan seperti monyet tua dalam sarkas paling teruk pada 1920-an,” kata Tommasi seperti dipetik oleh agensi berita Ansa. – AFP