TEL AVIV – Israel mengusir 171 lagi aktivis asing, termasuk aktivis kempen perubahan iklim Sweden, Greta Thunberg, lapor BBC hari ini.
Greta ditahan apabila tentera Israel memintas bot-bot Global Sumud Flotilla (GSF) yang cuba melanggar sekatan tentera lautnya ke atas Gaza untuk menghantar bantuan asas pada minggu lalu.
Kementerian Luar Israel berkata, aktivis-aktivis itu berlepas ke Greece dan Slovakia.
Aktivis lain yang dibebaskan termasuk warganegara Greece, Slovakia, Perancis, Itali, Britain, dan Amerika Syarikat.
Kementerian sama memuat naik gambar Greta memakai pakaian sukan kelabu dan berjalan di lapangan terbang Israel.
Setakat ini, kementerian tersebut telah mengumumkan pengusiran 341 daripada lebih 470 orang yang menaiki 42 buah bot GSF yang dipintas tentera laut Israel. – AGENSI