KUALA LUMPUR – Dijanjikan pulangan sebanyak AS$3 juta (RM12.6 juta) dengan hanya melabur sebanyak RM1,000.
Keuntungan berlipat kali ganda itu dipercayai menjadi taktik utama sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki individu tempatan bagi memperdayakan mangsa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat itu mendakwa kononnya wujud dana emas dan tunai berjumlah puluhan bilion dolar Amerika Syarikat.
Menurutnya, kesemua harta itu tersimpan di institusi kewangan di luar negara melibatkan United Kingdom dan Switzerland.
“Berdasarkan maklumat, pelabur telah dijanjikan pulangan luar biasa sekiranya menyertai dan membantu membiayai ‘pengaktifan’ dana dalam tempoh tertentu.
“Dakwaan ini adalah disyaki palsu dan sebahagian daripada strategi penipuan,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ hari ini.
Hishamuddin berkata, pengadu mendakwa perlu melabur sejumlah wang sebagai daripada ‘tugasan’ untuk membawa dana masuk ke Malaysia.
Katanya, skim itu disyaki dikendalikan oleh individu tempatan yang dikenali sebagai ‘mastermind’ dan diikuti beberapa orang ‘ketua’.
“Syarikat kepada ‘dana tahyul’ itu disyaki bukan sebuah entiti pelaburan sah serta tidak berdaftar di bawah mana-mana institusi kewangan yang diiktiraf di Malaysia.
“Sehingga ke hari ini, para pengadu menyatakan bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan hanya diberikan pelbagai alasan termasuk masalah teknikal bank luar negara dan proses pemindahan dana belum lengkap,” ujarnya.
Hishamuddin berkata, pihaknya difahamkan sebanyak 30 laporan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Tujuh laporan masih dalam siasatan, manakala satu laporan telah diberikan arahan NFA (No Further Action),” katanya.
Hishamuddin berkata, pihaknya berharap agar siasatan yang sedang dijalankan berkaitan kes itu dapat dipercepatkan dan dilengkapkan dengan segera.
“Kita harap Polis Diraja Malaysia dapat melengkapkan siasatan dan menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membuat pertuduhan di mahkamah.
“Kegiatan ini disyaki masih beroperasi dan aktif dijalankan secara senyap,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 57 individu mengalami kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, penipuan terbabit didalangi sebuah syarikat dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri berusia 60-an.
Terdahulu, polis menerima 43 laporan berhubung sindiket berkenaan sejak 2023 dan sudah membuka 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, pihaknya sudah merekod 40 keterangan berhubung penipuan berkenaan membabitkan 37 mangsa dan tiga saksi untuk membantu siasatan lanjut.
Malah, semakan turut mendapati gelaran Datuk Seri yang dimiliki pemilik syarikat berkenaan juga palsu. – KOSMO! ONLINE