SERDANG – Delegasi Malaysia misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) bersepakat untuk menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera sekiranya ditahan oleh tentera Israel.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, ini memandangkan kesemua mereka tidak mahu mengambil risiko berpanjangan susulan penahanan tersebut.
“Delegasi Malaysia bersepakat kami bila ditawan dan kalau ditawarkan tandatangan pulang segera, kami akan pulang segera. Kami tidak mahu ambil risiko berpanjangan di sana.
“Kedutaan Malaysia di Turkiye memaklumkan proses sama akan dilaksanakan kepada delegasi Malaysia dan kami juga menghantar pasport kepada pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir.
“Mereka akan bantu mudahkan pengangkutan bagi proses pemulangan ke Malaysia,” katanya menerusi panggilan video pada sidang media di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare) di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan menandatangani Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera bukan bermaksud mereka gentar.
“Timbul di sini ada perbincangan apabila kami pulang nanti, kami takut… tidak. Kami lihat objektif kami untuk pecah masuk sudah sampai.
“Kami juga mengambil kira faktor terkini yang mana Israel seakan semakin mengganas terhadap tahanan Global Sumud Flotilla, jadi ini terbaik,” katanya.
Beliau berkata, kapten kapal juga memberi kebebasan kepada semua peserta sama ada memilih pulang segera atau tidak menandatangani dokumen pulang segera.
“Itu terpulang, tapi kami sebulat suara delegasi Malaysia tak nak beri tekanan kepada negara, pemimpin negara selain peserta sendiri sebab tidak tahu layanan akan datang daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kesemua lapan kapal layar TMTG telah bergabung dengan kapal Conscience pukul 11.30 pagi tadi waktu Malaysia.
“Kesemua kapal masih berlegar di perairan antarabangsa untuk menunggu kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam,” katanya.
Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar di atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.
Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE