fbpx
Mohd. Bukhori (dua dari kanan) bersama anggota APM dan polis meninjau keadaan mangsa banjir di sebuah rumah di Jalan Makam Diraja Langgar, Alor Setar hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

Fenomena air pasang besar, 18 lokasi di Kedah berisiko banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sebanyak 18 lokasi yang terletak berhampiran pantai dan muara sungai di lima daerah di negeri ini berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar bermula tengah malam ini hingga awal pagi Jumaat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), fenomena itu diramal berlaku selama empat hari berturut-turut bermula pukul 12.45 tengah malam ini dengan ketinggian ombak 2.9 meter.

“Seterusnya pada Rabu (1.14 pagi), Khamis (1.45 pagi) dan Jumaat (2.18 pagi) dengan ketinggian ombak tiga meter,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir di kawasan perumahan di Jalan Makam Diraja Langgar, di sini hari ini.

Katanya, di daerah Kota Setar, kawasan berisiko banjir akibat fenomena berkenaan ialah Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Taman Sri Pantai.

“Bagi daerah Yan, tiga lokasi berisiko ialah Kampung Kuala Raga, Kampung Kuala Sala dan Kampung Kuala Sungai Yan Kechil, manakala di Kubang Pasu, lokasi terlibat ialah Kampung Kuala Kerpan, muara Kampung Kuala Jerlun dan muara Kampung Kuala Sanglang.

“Tujuh lokasi berisiko di daerah Kuala Muda ialah Kampung Kepala Tanjung, Kampung Bukit Kechik, Kampung Tukang Jusoh, Kampung Paya, Kampung Sungai Meriam, Kampung Sungai Yu dan Tanjung Dawai, manakala di daerah Langkawi hanya satu lokasi iaitu Kampung Bakau Kelibang,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, seramai 164 mangsa banjir dari daerah Pokok Sena dan Kota Setar masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Pokok Sena dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.

“Buat masa ini, cuaca dalam keadaan baik dan trend air semakin menurun. Kita berharap cuaca kekal baik kerana jika berlaku hujan berterusan, boleh mengakibatkan pertembungan air sungai dengan air pasang besar di laut semasa fenomena itu bermula tengah malam ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, terdapat sebanyak 119 lokasi hotspot banjir di negeri ini melibatkan daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Pendang yang terletak di kawasan lembangan Sungai Kedah, manakala daerah Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim di lembangan Sungai Muda.

“Kira-kira 900 anggota APM bersama agensi berkaitan bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana ini dan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta melakukan persediaan lebih awal,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN