BALING – Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke keseluruhan sebuah stesen minyak dalam kebakaran di Kampung Bandar, mukim Siong, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.52 malam.
Beliau yang mengetuai operasi bersama penyelia pasukan, Pegawai Bomba Kanan I Samsari Ibrahim serta lapan anggota dari BBP Baling bergegas ke lokasi kejadian dan tiba tidak lama kemudian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah pam minyak petrol di bahagian hadapan Stesen Minyak Buraq Oil terbakar.
“Kejadian kebakaran itu disedari oleh pekerja yang ternampak api selepas sebuah kenderaan selesai mengisi minyak,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan pantas pihaknya yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kampung Lalang serta Belia 4B berjaya mengawal api daripada merebak ke keseluruhan stesen minyak berkenaan. – KOSMO! ONLINE