PETALING JAYA – Selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Israel, penglibatan selebriti dan aktivis Malaysia, Farah Lee, dalam misi kemanusiaan ke Gaza terus menjadi tumpuan.
Terbaharu, suaminya, Fuad Hashim menerusi hantaran di Instagram mendedahkan bahawa Farah Lee telah meminta izin daripadanya untuk meneruskan misi kemanusiaan tersebut walaupun wanita itu belum kembali ke tanah air.
“Lepas ini nak pergi lagi, hehe,” kata Farah ketika mengirim pesanan kepada suaminya di WhatsApp.
“Tak sampai lagi Malaysia, dah minta izin nak pergi lagi,” tulis suaminya.
Farah Lee kini masih berada di Istanbul, Turkiye bersama 23 lagi sukarelawan Malaysia selepas misi bantuan kemanusiaan menerusi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza ditahan oleh rejim Zionis dan kesemua delegasi negara bersama lebih 400 aktivis dunia lain dibawa ke penjara Israel.
Terdahulu, pempengaruh media sosial itu mendedahkan detik mencemaskan ketika bot yang dinaikinya disekat oleh rejim Israel dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurutnya, rejim Israel menggunakan semburan air bertekanan tinggi sehingga menyebabkan semua sukarelawan di atas bot terpelanting.
“Israel sembur air yang sangat kuat sehingga kami semua yang berada di atas bot terpelanting. Mereka bagi amaran, sama ada belayar ke Israel atau patah balik.
“Kalau berdegil, ini amaran terakhir, dia akan apa-apakan kapal kami,” katanya menerusi video terakhirnya yang dimuat naik di Instagram sebelum ditahan tentera Israel minggu lalu.
Sebelum ini, Farah Lee bersama seorang lagi sukarelawan Malaysia, Danish Nazran Murad menaiki kapal Grande Blu dalam misi GSF. – KOSMO! ONLINE