MOGADISHU – Tentera menamatkan kepungan enam jam oleh kumpulan militan di sebuah penjara utama yang terletak berhampiran pejabat Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud di Mogadishu dan membunuh semua tujuh penyerang, lapor akhbar Arab News semalam.
Kerajaan berkata, tiada pegawai awam atau pengawal keselamatan terbunuh dalam serangan semalam. Kumpulan Al-Shabab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab.
Serangan ke atas kemudahan tahanan Godka Jilicow yang menempatkan sejumlah anggota Al-Shabab itu berlarutan berjam-jam.
“Pasukan keselamatan berjaya menamatkan serangan pengganas, menembak mati kesemua tujuh lelaki bersenjata yang terlibat,” kata Kementerian Dalam Negeri Somalia dalam satu kenyataan.
Penduduk tempatan berkata, mereka mendengar bunyi tembakan sporadis selama lebih tiga jam selepas serangan bermula.
Kerajaan tidak menyatakan berapa ramai anggota pasukan keselamatan yang terbunuh semasa kejadian itu.
Pemilik ambulans persendirian, Abdulkadir Adam berkata, kenderaannya membawa hampir 25 mangsa dari tempat kejadian ke pelbagai hospital.
Media kerajaan Somalia melaporkan, kumpula militan menggunakan kenderaan yang menyamar untuk kelihatan seperti pasukan keselamatan unit perisikan. – AGENSI