PETALING JAYA – “Kami dilayan seperti binatang.”
Demikian luahan penuh emosi aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia, Hazwani Helmi selepas selamat tiba di Istanbul, Turkiye, sebaik dibebaskan daripada tahanan tentera Zionis.
Hazwani atau nama sebenarnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, mendedahkan betapa kejam dan tidak berperikemanusiaannya layanan rejim Israel terhadap para tahanan.
“Keadaan sangat teruk. Mereka layan kami seperti haiwan. Memang zalim.
“Kami tidak diberi makanan bersih, air bersih mahupun ubat-ubatan,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.
Tambah adik kepada Heliza Helmi itu, tentera Israel turut merampas semua barangan peribadi termasuk ubat-ubatan, telefon bimbit dan dokumen penting milik sukarelawan tanpa sebarang penjelasan.
“Sampai sekarang barang-barang kami belum dipulangkan.
“Dunia perlu tahu kekejaman mereka. Mereka bukan manusia, mereka kejam tanpa belas ihsan,” tegasnya.
Dalam nada sebak, Hazwani turut menceritakan detik menyayat hati apabila menyaksikan aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg menjadi mangsa penghinaan tentera Zionis.
“Saya nampak dengan mata sendiri bagaimana mereka menyeret Greta di atas tanah dan menekap bendera Israel ke wajahnya. Mereka melayannya seperti binatang,” katanya.
Saksi lain, wartawan Turkiye Ersin Celik, turut mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, Greta dijadikan bahan ejekan dan propaganda oleh tentera Israel di hadapan puluhan tahanan antarabangsa.
Sementara itu, wartawan Itali Agostino pula mendakwa Greta dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti trofi, manakala sukarelawan dari Amerika Syarikat, Windfield Beaver, mendakwa Greta dijadikan bahan propaganda.
Difahamkan, Greta, 22, yang menghidap sindrom Asperger masih dalam tahanan, sementara kerajaan Sweden berusaha membawanya pulang melalui saluran undang-undang antarabangsa.
Seramai 137 aktivis GSF termasuk dari Malaysia, Amerika Syarikat, Itali, Kuwait, Switzerland, Tunisia, Libya dan Jordan dilaporkan diusir dari Israel sebelum mendarat di Istanbul pada Sabtu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia telah dibebaskan dan kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Turkiye untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta sokongan psikologi.
Kesemua mereka dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat sebaik selesai proses dokumentasi dan rawatan susulan. – KOSMO! ONLINE