TEMERLOH – Cubaan seorang lelaki warga emas menguji alat memanjat pokok kelapa ciptaannya bertukar detik mencemaskan apabila dia pengsan ketika berada setinggi kira-kira sembilan meter di Taman Jaya 2, Jalan Temerloh–Maran di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.52 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an dilaporkan tidak sedarkan diri dan terperangkap di atas pokok sebelum orang awam menghubungi talian kecemasan.
Difahamkan, lelaki tersebut sebelum itu memanjat pokok untuk mencuba keberkesanan alat buatannya, namun tiba-tiba rebah dipercayai akibat keletihan.
Ketua Zon 2 Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin bersama sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di lokasi, seorang lelaki didapati tidak sedarkan diri di atas pokok kelapa dengan ketinggian anggaran sembilan meter.
“Anggota bomba melaksanakan operasi menyelamat menggunakan tangga jentera dan sistem takal bagi menurunkan mangsa,” katanya.
Katanya, mangsa berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas keadaan mangsa stabil. – KOSMO! ONLINE