SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi sebarang arahan atau pedoman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung langkah pemakaian pelitup muka di sekolah susulan kebimbangan peningkatan jangkitan influenza.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini pihaknya belum mengeluarkan sebarang arahan baharu berhubung perkara itu selagi tidak menerima saranan daripada KKM.
“Kalau ada pedoman dan arahan daripada KKM kita akan ikut dan tak ada masalah setakat ini di peringkat kami untuk melaksanakan apa-apa saranan dan syor daripada KKM.
“Jadi kita masih menunggu saranan daripada KKM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular dakwaan bahawa beberapa sekolah di negeri ini mewajibkan pelajar memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes influenza.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi, situasi itu masih berada dalam kawalan.
Beliau berkata, berdasarkan analisis terkini Survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) bagi tempoh Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37, kadar jangkitan berasaskan klinikal direkodkan antara 9.5 hingga 10.5 peratus. – KOSMO! ONLINE