PETALING JAYA – “Mereka melayannya seperti haiwan,” itu antara perkongsian peserta Global Sumud Flotilla (GSF) ketika menceritakan tindakan tentera Zionis ke atas aktivis terkenal dunia, Greta Thunberg selepas mereka ditahan semasa misi bantuan ke Gaza baru-baru ini.
Menurut sukarelawan Malaysia, Hazwani Helmi, Greta turut dipukul dengan sangat kuat tanpa belas ihsan oleh tentera Israel selain mereka menampal bendera negara itu di wajahnya.
Selain itu, salah seorang sukarelawan dari Amerika Syarikat, Windfield Beaver memberitahu, Greta dilayan sangat teruk berbanding yang lain ketika dalam tahanan.
“Saya melihat sendiri bagaimana mereka memukulnya. Mereka memasang bendera Israel pada wajahnya. Mereka mengikatnya pada troli dan menyeretnya. Mereka memukulnya sesuka hati di mana sahaja mereka mahu,” katanya ketika sesi temu bual bersama media tempatan di Lapangan Terbang Istanbul semalam.
Tambahnya, Greta dibawa ke bilik tertutup di mana Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir dikatakan turut hadir ke ruang itu.
“Ben-Gvir masuk ke dalam bilik bersama dia (Greta). Kami hanya mampu mendengar jeritan. Ia sangat menakutkan,” kongsinya.
Tedahulu, lebih 400 peserta GSF dari pelbagai negara ditahan pihak Israel ketika cuba memecahkan ‘blokade’ laut sejak 17 tahun lalu terhadap Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan termasuk makanan serta ubat-ubatan.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke penjara di Ashdod, Israel bagi proses penahanan. – KOSMO! ONLINE
@ahmadzamri.rozali #sumudnusantara2025 #sumudflotillanusantara🇲🇾🇵🇸 #flotillasolidaria #stand4gretha #gretathunberg ♬ original sound – AhmadZamri