JOHOR BAHRU – Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak sekeras-kerasnya tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada Majlis Makan Malam Gala Global Travel Meet 2025, 1 Oktober lalu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.
Jelasnya, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai agama Persekutuan.
“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan. Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini adalah merupakan acara kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Mara (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi menyatakan pendirian UMNO terhadap cadangan berkenaan.
“Sebagai Presiden UMNO, kita menolak 100 peratus cadangan itu. Acara seperti ini tidak pernah diadakan dalam mana-mana program rasmi kerajaan sebelum ini dan ia perlu ditolak,” tegasnya.
Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah, yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang dijadikan isu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Kata beliau, memandangkan Tourism Malaysia buat julung kalinya menganjurkan acara global sedemikian, pihak industri dan sektor swasta teruja sehingga berhasrat untuk menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam itu. – KOSMO! ONLINE