KETIADAAN import berkualiti punca Kelantan The Real Warrior (TRW FC) kurang mampu bersaing dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengendali TRW, E. Elavarasan berkata, situasi semasa jelas menunjukkan kehadiran pemain import lebih berkualiti mampu melonjakkan prestasi keseluruhan pasukan di atas padang.
“Kalau kita hendak baiki pasukan, sudah tentu kita kena lihat kembali kualiti dimiliki setiap pemain. Siapa mempunyai import lebih bagus, prestasi juga akan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) kelmarin.
Dalam aksi Liga Super menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, TRW tewas 1-4 selepas dibolosi tiga kali pada separuh masa pertama.
Elavarasan berkata, TRW menghadapi kesukaran setelah dua import utamanya, Ifedayo Olusegun dan Habib Haroon masih belum pulih daripada kecederaan menyebabkan beliau terpaksa menggunakan barisan pemain yang sedia ada buat masa ini.
“Kita perlu realistik dengan keadaan pasukan sekarang. Memang TRW memerlukan pemain import berkualiti baharu untuk meningkatkan daya saing. Apapun, ia bergantung kepada bajet dan rancangan pihak pengurusan,” katanya.
Dalam pada itu, Elavarasan menyifatkan kelekaan barisan pertahanan membuka ruang luas kepada TFC memperolehi gol teruma pada babak pertama yang dilihat sebagai punca utama kekalahan pasukannya.
“Apapun saya tetap berpuas hati dengan usaha pemain yang cuba bangkit pada separuh masa kedua namun peluang dimiliki gagal disempurnakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















