SKUAD Terengganu FC (TFC) kembali ke landasan terbaik apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (TRW FC) 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Pengendali Sang Penyu, Badrul Afzan Razali Berkata, anak buahnya berjaya memanfaatkan peluang terhidang yang menjadi kelemahan mereka selama ini.
“Keserasian antara pemain kini semakin baik selepas sembilan perlawanan termasuk saingan Piala FA sekali gus
membantu melonjakkan prestasi pasukan.
“Tiga mata ini amat bermakna selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC minggu lalu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
TFC tampil garang di laman sendiri menerusi dua gol penyerang import dari Perancis, Yann Mabella serta Nurillo Tukhtasinov dan Diego Landis yang masing-masing turut meledak satu gol.
TRW kendalian E. Elavarasan sebaliknya hanya mampu memperoleh gol saguhati menerusi pemain gantian, T. Saravanan.
Bagaimanapun, Badrul Afzan mengakui sedikit cemas apabila anak buahnya mula memperlahankan tempo permainan pada awal babak kedua sehingga membolehkan TRW berjaya merapatkan jurang.
“Kemenangan besar di depan ribuan penyokong sendiri ini memberi suntikan motivasi kepada pemain-pemain,” katanya.
Sementara itu, Badrul Afzan berkata, pemain import baharu dari Myanmar, Kyaw Min Oo, hanya dimasukkan pada pertengahan babak kedua bagi menjaga kecergasan selepas baru pulih daripada kecederaan untuk aksi suku akhir Piala FA menentang Kuching City FC nanti. – KOSMO! ONLINE