fbpx
Mohamad bergambar bersama penduduk yang menghadiri Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad 2025 di Masjid Sheikh Haji Ahmad di Bandar Sri Sendayan, hari ini. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL / KOSMO!

Sumud Flotilla: Tandatangan borang pelepasan segera bukan tanda menyerah kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Tindakan kerajaan yang meminta peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menandatangani borang ‘request for immediate departure’ atau surat permohonan pelepasan segera bukanlah tanda menyerah kalah, sebaliknya langkah diplomatik senyap bagi mempercepatkan proses pembebasan sekiranya mereka ditahan pihak berkuasa Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu telah dimaklumkan lebih awal oleh sekretariat misi berkenaan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP), memandangkan risiko penahanan sememangnya dijangka berlaku berdasarkan pengalaman flotila sebelum ini.

“Ramai yang salah faham dan mengkritik seolah-olah kita menyerah kalah. Ini bukan soal tunduk, tetapi soal kebijaksanaan.

“Proses perundangan di Israel sangat rumit dan boleh mengambil masa lama. Dengan menandatangani surat tersebut, peserta mengakui memasuki kawasan Israel tanpa kebenaran dan ini membolehkan pihak berkuasa Israel mengusir mereka keluar lebih cepat. Ia mempercepatkan proses diplomatik supaya mereka boleh dibawa pulang dengan selamat,” katanya ketika ditemui pada Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad 2025 di Masjid Sheikh Haji Ahmad di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sehingga kini semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah dibebaskan hasil kerjasama erat dengan kerajaan Turkiye, yang turut menghantar pesawat khas bagi membawa mereka pulang dari selatan Israel ke Istanbul.

Katanya, semua peserta berada dalam keadaan sihat, menjalani pemeriksaan perubatan dan kini menunggu urusan kepulangan ke tanah air yang sedang diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Turkiye.

“Kedutaan kita mengurus segala dokumentasi termasuk bagi mereka yang kehilangan pasport. Kita berterima kasih kepada kerajaan Turkiye atas kerjasama yang sangat baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI