TEL AVIV – Israel melakukan persediaan untuk melaksanakan gencatan senjata dan menerima pembebasan baki tebusan yang ditahan oleh Hamas dalam tempoh 10 hari, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Kesediaan itu dibuat selepas kumpulan pejuang Hamas bersetuju dengan sebahagian daripada pelan damai Amerika Syarikat (AS).
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, para perunding di Mesir iaitu tempat rundingan dijadualkan bermula hari ini, akan membincangkan garis masa bagi pembebasan tebusan tersebut.
“Israel berada di ambang satu pencapaian besar. Ia masih belum muktamad. Kami sedang berusaha keras ke arah itu,” katanya.
Netanyahu berharap bahawa semasa perayaan Sukkot Yahudi yang bermula esok dan berlangsung selama tujuh hari, dia dapat mengumumkan bahawa semua tebusan telah dikembalikan.
Cadangan damai itu menyeru agar semua tebusan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas dipersetujui oleh semua pihak.
Menurutnya, Hamas akan dilucutkan senjata melalui cadangan tersebut atau melalui tindakan ketenteraan.
Israel percaya terdapat 20 tebusan yang masih hidup di Gaza dan 27 lagi telah dianggap terbunuh.
Sejak serangan 7 Oktober 2023, sebanyak 138 tebusan telah dibebaskan termasuk ketika gencatan senjata, manakala lapan lagi diselamatkan oleh tentera Israel. – AGENSI