PETALING JAYA – Suami kepada penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman meluahkan rasa syukur dan gembira apabila isterinya dibebaskan daripada tahanan tentera Israel semalam.
Menerusi perkongsian Mahadi dalam Instagram, dia berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan isterinya dan adik iparnya, Hazwani Helmi yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
“Pondatti (Heliza Helmi) dan seluruh pasukan misi kini selamat tiba di Istanbul setelah melalui perjalanan yang panjang dan penuh ujian.
“Allah beri ruang dua hari untuk mereka berehat, bersihkan diri dan kuatkan semula semangat sebelum kembali ke tanah air tercinta. Setiap langkah mereka adalah doa kita semua. Setiap titis air mata mereka, saksi cinta kepada saudara seagama di bumi Palestin.
“Terima kasih atas doa dan sokongan yang tak pernah putus. Allah sebaik-baik pelindung. Doakan terus ya,” tulisnya.
Terdahulu, semalam Heliza bersama 22 lagi aktivitis kemanusiaan dari Malaysia dibebaskan daripada tahanan tentera Israel selepas dipenjara selama dua hari.
Kesemua mereka dihantar pulang menaiki pesawat komersial dari Israel ke Istanbul, Turkiye bersama aktivitis daripada beberapa negara lain.
Kesemua 500 aktivitis kemanusiaan daripada 44 buah negara telah ditawan tentera Zionis Rabu lalu sewaktu kapal mereka memasuki zon merah menuju ke Gaza.
Sebelum menyerahkan diri kepada tentera Israel, kesemua mereka telah membuang telefon pintar masing-masing ke dalam laut sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain Heliza dan Hazwani, antara aktivis daripada Malaysia yang terlibat ialah Ardell Aryana, Farah Lee dan PU Rahmat. – KOSMO! ONLINE