ALOR SETAR – Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar yang kini menempatkan seramai 76 mangsa banjir dari 10 kampung dalam mukim Langgar dan Limbong sejak pukul 2.30 petang tadi.
Kawasan yang terjejas ialah Kampung Alor Raja, Kampung Makam Diraja, Kampung Limbong, Kampung Alor Setol, Pondok Haji Ahmad, Kampung Pokok Asam, Kampung Tanjung Inggeris, Kampung Alor Besar, Kampung Pagar Air dan Kampung Pondok Syeikh.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, PPS itu adalah yang kedua dibuka selepas PPS Dewan Serbaguna di daerah Pokok Sena.
“Di PPS Dewan Serbaguna, Pokok Sena yang dibuka sejak kelmarin, seramai 93 mangsa daripada 28 keluarga masih berlindung di situ,” katanya di sini hari ini.
Katanya, jumlah keseluruhan mangsa banjir di kedua-dua PPS berkenaan ialah seramai 169 orang daripada 52 keluarga melibatkan 17 kampung dan taman perumahan di daerah Kota Setar dan Pokok Sena. – KOSMO! ONLINE