fbpx
Salah seorang aktivis GSF yang ditahan bercakap kepada media selepas tiba di Istanbul semalam. - AFP

Peserta flotila dilayan seperti binatang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISTANBUL – Sebilangan aktivis antarabangsa yang tiba di Istanbul, Turkiye selepas diusir dari Israel berkata semalam bahawa mereka telah dilayan seperti haiwan.

Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) belayar bulan lalu untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza  tetapi tentera Israel memintas dan merampas  bot-bot mereka.

Tentera Israel turut menahan lebih 400 aktivis yang mula dibebaskan kelmarin. 

Daripada jumlah itu, 137 aktivis dari 13 negara tiba di Istanbul  semalam termasuk 36 warganegara Turkiye.

“Sebilangan besar kapal tentera memintas kami,” kata Paolo Romano yang merupakan ahli majlis pentadbiran wilayah Lombardy, Itali, di lapangan terbang Istanbul.

“Beberapa bot turut dibedil dengan meriam air. Semua bot ditawan oleh individu lengkap bersenjata  dibawa ke darat,” kata lelaki berusia 29 tahun itu.

“Mereka paksa kami berlutut, menundukkan muka ke bawah. Jika kami bergerak, mereka memukul kami. Mereka ketawa, menghina, dan memukul kami.

“Mereka menggunakan keganasan psikologi dan fizikal,” tambahnya.

Antara mereka yang menyertai GSF  terdiri daripada kira-kira 45 bot itu adalah ahli politik dan aktivis termasuk pejuang iklim Sweden, Greta Thunberg.

Romano berkata, aktivis-aktivis cuba dipaksa untuk mengaku bahawa mereka telah memasuki Israel secara haram.

“Namun, kami tidak pernah memasuki Israel secara haram. Kami berada di perairan antarabangsa dan itu adalah hak kami untuk berada di sana (Gaza),” ujarnya.

Setibanya di darat, mereka dibawa ke penjara dan ditahan tanpa dibenarkan keluar, malah tidak diberikan air minuman, katanya.

“Mereka membuka pintu pada waktu malam dan menjerit sambil mengacukan senjata kepada kami untuk menakutkan kami,” katanya.

“Kami dilayan seperti binatang.”

Aktivis Malaysia berusia 28 tahun, Iylia Balqis berkata, tindakan Israel yang memintas bot itu adalah satu pengalaman paling buruk.

“Kami digari (dengan tangan di belakang), kami tidak boleh berjalan, ada yang dipaksa meniarap di atas tanah, kemudian kami dinafikan air, dan ada antara kami dinafikan ubat,” katanya.

Para aktivis diterbangkan ke Istanbul dengan pesawat khas Turkish Airlines.

Dalam satu hantaran di laman X, Kementerian Luar Israel mengesahkan bahawa 137 lagi peserta flotila telah diusir ke Turkiye. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI