ALOR SETAR – Penduduk di Langgar, di sini bimbang keadaan banjir menjadi semakin buruk ekoran limpahan sungai serta cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Penduduk Pondok Dato Tuan Guru Haji Hussein, Abdul Manap Measar, 61, berkata, dia risau kejadian banjir paling buruk yang berlaku pada tahun 2010 iaitu air sehingga paras dada berulang lagi.
“Kali ini rumah saya yang terletak di kawasan rendah dimasuki air sehingga paras betis, memang tidak sempat nak selamatkan barang kerana air naik dengan cepat.
“Saya tak sangka akan banjir sebab semalam cuaca baik. Paras air naik akibat limpahan sungai, ditambah pula dengan hujan lebat pada awal pagi tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia bersama isteri dan seorang anak perempuan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.
“Setakat ini kami duduk di tingkat atas rumah, manakala pekarangan hadapan masih belum dinaiki air. Cumanya kami terkepung dan hanya berani keluar dari kawasan ini dengan pikap atau lori,” ujarnya.
Penduduk Jalan Makam Diraja Langgar, Omar Dani Al Amin Ibrahim, 39, pula berkata, lebih 50 rumah di beberapa kampung termasuk lebih tiga pondok pengajian Islam di kawasan itu terjejas teruk.
“Saya difahamkan ada rumah yang tenggelam sehingga paras pinggang hingga dada. Laluan ke kampung dan pondok pengajian juga sudah ditenggelami air, harap keadaan tidak semakin teruk,” katanya.
Menurutnya, keadaan banjir pada tahun 2010 lebih buruk apabila penduduk di kampung berhampiran terpaksa dibawa keluar menggunakan bot pasukan penyelamat.
Tinjauan di kawasan Langgar mendapati kira-kira 100 rumah, premis perniagaan serta Balai Polis Langgar dalam daerah Kota Setar menjadi lokasi terbaharu yang terjejas akibat banjir.
Selain Kota Setar, daerah lain yang turut dilanda banjir adalah Pokok Sena, Padang Terap dan Pendang.
Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, seramai 101 mangsa daripada 31 keluarga dari mukim Gajah Mati dan Lesong, Pokok Sena, masih berlindung di Dewan Serbaguna Pokok Sena sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Mereka terdiri daripada penduduk Taman Puteri, Kampung Sungai Durian dan Kampung Permatang Limau. – KOSMO! ONLINE