JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor menafikan dakwaan bahawa sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Pelangi di sini, kehabisan bekalan petrol RON95, sebaliknya tindakan mencabut nozzle dilakukan susulan kebocoran pada tangki utama bawah tanah.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, siasatan dijalankan anggota penguatkuasa pada kira-kira pukul 2 petang, hari ini susulan aduan awam yang diterima dan tular di media sosial.
“Menerusi percakapan dengan pengurus stesen memaklumkan ada nozzle RON95 dicabut disebabkan berlaku kebocoran pada tangki utama bawah tanah.
“Lapan nozzle tiada di pam (telah dicabut) iaitu pam 3, 4, 7, 8, 11, 12, 13 dan 14. Laporan berhubung isu ini juga telah dikemukakan kepada KPDN Putrajaya pada Julai lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelakkan kekeliruan pelanggan yang mungkin menyangka bekalan RON95 habis, sedangkan ia berpunca daripada masalah teknikal pada tangki.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ada lagi lapan pam lain iaitu nombor 1, 2, 5, 6, 9, 10, 15 dan 16 masih beroperasi seperti biasa dan penjualan RON95 diteruskan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai rungutan pengguna terhadap sebuah stesen minyak di Pasir Pelangi di sini yang didakwa menanggalkan beberapa nozzle pam RON95.
Tular juga dakwaan bahawa tindakan itu mungkin dilakukan untuk menghadkan penggunaan RON95 kepada kenderaan berplat Malaysia sahaja, dan bukan untuk kenderaan pendaftaran Singapura.-KOSMO! ONLINE