KEHADIRAN spesies eksotik sebagai peliharaan semakin mendapat perhatian di Malaysia terutama dalam kalangan pencinta haiwan.
Lazimnya kucing dan anjing menjadi pilihan utama, namun kini spesies seperti rakun dan meerkat mula menarik minat segelintir peminat haiwan unik.
Walaupun dianggap pelik oleh sesetengah pihak kerana rupanya mirip musang atau tikus liar, keletah manja dan sifat semula jadi rakun dan meerkat menjadikan ia pilihan eksotik yang semakin popular, namun tetap menuntut komitmen besar, pemahaman mendalam serta kepatuhan terhadap undang-undang.
Meskipun rakun dan meerkat dilihat seakan serupa, rakun lebih besar dengan panjang badan antara 40 hingga 70 sentimeter (sm), manakala meerkat cuma 25sm hingga 35sm.
Rakun yang berasal dari Amerika Utara merupakan haiwan daripada keluarga Procyonidae (berkait rapat dengan coatimundi dan kankajou), manakala meerkat berasal dari Gurun Kalahari, Afrika daripada keluarga Herpestidae (berkait keluarga musang).
Rakun dikenali dengan belang hitam dan topeng hitam di sekitar mata, manakala meekat dengan badan ramping dan mata besar.
Menurut seorang pencinta ‘musang-musang eksotik’ ini, Wan Mohd. Zamri Wan Ismail, 38, dia berpengalaman membela lebih 20 ekor meerkat sejak empat tahun lalu serta seekor rakun.
“Haiwan-haiwan ini sudah menjadi sebahagian ahli keluarga saya. Setiap spesies memiliki keunikan tersendiri.
“Rakun bijak, suka explore, malah pandai buka benda. Meerkat pula hidup berkumpulan dengan sistem sosial tersendiri.
“Saya masih ingat memori pertama kali diperkenalkan dengan rakun, haiwan itu cuba membuka zip beg saya,” kata lelaki dari Kota Bharu, Kelantan itu ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

di sangkarnya.
Kehadiran rakun yang diberi nama Bulat dalam rumah bukan sahaja menceriakan suasana, malah kadangkala mencetuskan huru-hara kecil.
Bulat, misalnya, pandai membuka pintu sangkar sendiri dan gemar ‘mencuci tangan’ dalam mangkuk air sebelum makan. Bagi Wan Mohd. Zamri, telatah itu adalah sebahagian momen kelakar yang membuatkan penat lelah menjaga haiwan eksotik itu terbayar.
“Ya, memang ada masa huru-hara, tapi lebih banyak comel dan kelakar, malah perhatian rakun dan meerkat terhadap manusia sangat tulus hingga boleh lupa penat seharian bekerja.
“Memelihara rakun memerlukan ruang yang lebih luas kerana sifatnya yang suka explore.
“Dari segi pemakanan, kedua-dua haiwan ini mempunyai diet yang hampir sama. Rakun lebih bersifat omnivor dan gemar memakan kibble kucing, isi ayam, buah pisang dan epal, manakala meerkat pula makanannya lebih pelbagai termasuk ulat roti, cengkerik, ayam serta buah-buahan seperti epal dan lobak merah,” jelasnya.
Kata Wan Mohd. Zamri, apabila rakun dan meerkat ini dibawa bersiar, dia seringkali menjadi perhatian orang ramai yang berasa aneh.
“Mula-mula orang pelik sebab nampak rare, tetapi bila sudah mendekatinya, ada yang turut mahu membelanya,” katanya.
Seorang lagi pencinta haiwan, Khaidin Khalid yang mula memelihara meerkat dan rakun selepas membelinya dari sebuah kedai di Kuala Lumpur berkata, sifat manja meerkat dan rakun menjadikan mesra dengan manusia, malah sering mengikuti ke mana saja.
“Ia suka ikut dari belakang bila saya berjalan di luar rumah. Jadi saya tak risau ia hilang terutama ketika membawanya di taman.
“Meerkat dan rakun bukanlah haiwan yang sukar dipelihara. Meerkat lasak, tahan penyakit dan tidak memerlukan vaksin khusus,” kongsinya.
Kata pemuda itu lagi, najisnya juga tidak berbau kuat, sekali gus memudahkan pengurusan kebersihan.

Tambahan pula, meerkat dan rakun boleh hidup bersama kucing kerana sifat sosial ketiga-tiganya yang mirip.
Habitat semula jadi kedua haiwan itu yang suka menggali pasir turut memberi inspirasi kepadanya untuk menyediakan pasir dalam sangkar sebagai ruang bermain dan mandi debu.
Lebih menarik, haiwan kecil ini sebenarnya berperanan sebagai ‘penjaga rumah’ kerana mampu memburu haiwan berbisa.
“Meerkat terutamanya makan ular, kala jengking, dan haiwan berbisa lain. Jadi kalau ada di kawasan rumah, ia boleh jadi pelindung seperti anjing.
“Dari aspek pembiakan pula, meerkat boleh bunting seawal usia setahun dengan tempoh kehamilan 11 minggu, melahirkan sehingga lima anak dan mempunyai jangka hayat sekitar 10 hingga 11 tahun,” jelasnya.
Namun, pemilikan haiwan eksotik ini bukan sekadar memenuhi minat peribadi. Ia juga terikat dengan undang-undang dan cabaran logistik.
“Saya nasihatkan orang ramai agar tidak terburu-buru untuk membelanya. Jika rasa tak mampu nak bagi komitmen 10 tahun (jangka hayat), lebih baik bela haiwan domestik. Bela haiwan eksotik perlu ada prinsip bahawa selagi kebajikan haiwan dijaga dan undang-undang dipatuhi, meerkat dan rakun boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia,” katanya.
Menurut pemilik kedai dan pusat pembekalan haiwan eksotik yang ditubuhkan pada 2014, Brotherhood Reptiles, Nur Nina Farisha Woo, permintaan terhadap rakun dan meerkat memang meningkat tetapi masih tergolong dalam pasaran niche.
“Majoriti pembeli ialah zoo mini, pusat pameran pendidikan dan institusi, bukan individu biasa.
“Walaupun pemilikan rakun dan meerkat dalam negara tidak memerlukan permit khas, proses import tetap tertakluk kepada kelulusan ketat daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” jelasnya.
Hal ini bagi memastikan pematuhan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES), setiap haiwan diperoleh dari pembekal berdaftar, diperiksa kesihatan serta melalui proses kuarantin sebelum diserahkan kepada pelanggan.
Cabaran terbesar ialah memastikan setiap pemilik benar-benar bersedia dari segi fasiliti, bajet jangka panjang, dan pengetahuan.
“Kami pastikan hanya individu atau institusi yang layak dibenarkan membeli. Rakun dan meerkat masih berperangai ‘wild-type’, bukan jinak sepenuhnya seperti kucing atau anjing.
“Haiwan ini perlukan ruang luas, aktiviti stimulasi dan perhatian harian,” katanya yang menjelaskan faktor kesihatan juga tidak boleh diabaikan. Kedua-dua spesies boleh terdedah kepada penyakit zoonotik iaitu penyakit yang boleh menjangkiti manusia.
Oleh itu, aspek biosekuriti, kebersihan dan pemeriksaan veterinar berkala amat penting. Malah, rakun dan meerkat yang dijual biasanya telah jinak melalui interaksi asas dengan manusia, namun tetap mengekalkan naluri liar yang sukar diduga.
“Haiwan ini sangat bijak, kadang-kadang pandai ‘berlakon’ untuk mengelirukan kita. Jadi pemantauan rapi tetap diperlukan.
“Dari sudut perniagaan, pasaran haiwan eksotik ini kekal niche. Potensi pertumbuhannya wujud, tetapi hanya untuk golongan berpengalaman dan institusi dengan kemudahan lengkap.
“Kalau tinggal di rumah pangsa, hampir mustahil untuk bela rakun atau meerkat kerana saiz kandang dan komitmen penjagaan terlalu besar,” jelasnya.















