fbpx
Tangkap layar rakaman Anwar mengadakan panggilan video bersama delegasi Malaysia di Istanbul, Turkiye.

Kerajaan akan anjur himpunan khas sambut wira Sumud Flotilla – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan akan menganjurkan satu himpunan khas bagi menyambut kepulangan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) setibanya mereka di tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, himpunan itu akan menjadi simbol penghargaan rakyat Malaysia terhadap keberanian dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkan para aktivis tersebut dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza.

“Saya sempat berinteraksi dengan para aktivis Malaysia di Istanbul bagi bertanya khabar sebaik dibebaskan dari tahanan rejim Zionis. Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan semangat mereka masih kental,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan 23 sukarelawan negara yang disifatkannya sebagai lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan.

“Saya menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.

“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan. Insya-Allah, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur kelak,” katanya.

Terdahulu, seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF dilaporkan ditahan oleh rejim Israel sebelum akhirnya dibebaskan hasil usaha diplomatik kerajaan Malaysia.

Kesemua mereka kini berada di Istanbul, Turkiye untuk menjalani beberapa pemeriksaan dan seterusnya dijangka pulang ke tanah air esok.

Misi Global Sumud Flotilla disertai lebih 400 pelayar antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang terus dikepung dan diserang oleh rejim Zionis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI