fbpx
23 rakyat Malaysia yang mengikuti misi GSF dijangka pulang ke tanah air esok.

Kejayaan PM bebaskan 23 sukarelawan Sumud Flotilla bukan tugas mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bukanlah satu tugas mudah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pembebasan kesemua sukarelawan itu merupakan hasil kecekapan diplomasi Perdana Menteri yang menggunakan segala saluran hubungan antarabangsa, termasuk jaringan rapat dengan beberapa pemimpin dunia seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Perdana Menteri menggunakan segala hubungan diplomatik yang ada untuk menjamin kebebasan dan keselamatan rakyat Malaysia.

“Ini bukan tugas mudah memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Fahmi berkata, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan diplomasi Malaysia dalam menangani isu kemanusiaan antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai suara lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.

Beliau turut menyifatkan reaksi global terhadap penahanan sukarelawan flotilla sebagai luar biasa apabila rakyat di banyak negara, termasuk di Eropah, bangkit mengadakan protes besar-besaran menuntut keadilan untuk Gaza.

“Apa yang agak luar biasa kali ini dalam Global Sumud Flotilla setelah berlaku pintasan dan penculikan penahanan semua peserta kita lihat rata-rata bukan hanya di Malaysia tapi banyak negara Eropah juga telah mengeluarkan rasa tidak puas hati dan rakyat melakukan protes besar-besaran di pelbagai negara.

“Kita juga tahu sekarang ada perbincangan di peringkat akhir untuk mencapai perdamaian di Gaza. Jadi keadaan dia sangat-sangat unik, sangat-sangat bersejarah dan kita doakan semua usaha untuk mencapai perdamaian di Gaza berjaya,” katanya.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye semalam selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

Menurut kenyataan itu, kumpulan berkenaan berlepas dari Eilat, Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 pada 1.40 tengah hari (waktu tempatan) dan tiba di Istanbul pada 3.40 petang (waktu tempatan).

Walaupun flotila tersebut tidak berjaya tiba di Gaza, Wisma Putra menegaskan bahawa misi berkenaan tetap berjaya meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap sekatan haram oleh rejim Zionis.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI