PETALING JAYA – Delegasi misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang menaiki kapal Conscience, termasuk sembilan rakyat Malaysia kini dilaporkan telah memasuki zon kuning pada hari keenam pelayaran dari Itali menuju ke Gaza.
Salah seorang peserta misi, Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, kapal berkenaan kini berada kurang daripada 393 batu nautika dari Gaza iaitu berada di kawasan yang semakin hampir dengan perairan Palestin.
“Kapal ini bergerak pelan-pelan sekitar empat sahaja kelajuannya kerana menunggu kapal-kapal kecil di belakang sana yang kebanyakan kapal layar daripada kumpulan Thousand Madleens.
“Semuanya okey, semalam ada kelihatan kapal-kapal peronda Greece yang mungkin cuba untuk melihat keadaan kapal kami. Tiada gangguan dan dua hari yang lepas ada dron kelihatan di sekitar kapal kami. Setakat ini tidak ada apa-apa gangguan ataupun komunikasi daripada kapal IDF (Pasukan Pertahanan Israel),” katanya menerusi satu perkongsian video hari ini.
Beliau menambah, semua aktivis berada dalam keadaan baik dan optimis untuk meneruskan pelayaran sehingga tiba ke Gaza.
“Kita akan tiba pada hari Rabu ini di Gaza. Insya-Allah ini lebih kepada perbincangan terakhir yang mungkin juga akan berubah.
“Kalau ada apa-apa perubahan saya akan maklumkan. Terima kasih,” katanya.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat (MPP) PKR menegaskan bahawa misi berkenaan bukan sekadar membawa bantuan kemanusiaan, tetapi turut mencerminkan komitmen terhadap prinsip keadilan sejagat seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
“Ini satu misi yang cuba menunjukkan tugas prinsip keadilan kita berasarkan kepada prinsip Perlembangaan parti perkara 5.18 yang menyentuh secara langsung bahawa keadilan harus ditegakkan, penindasan harus diakhiri dan penindasan yang berlaku di Gaza.
“Ia juga adalah tanggungjawab bersama kita sebagai parti yang berteraskan kepada perjuangan ini tidak harus hanya berada di dalam negara, tapi melampaui sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE