LONDON – Sekurang-kurangnya 488 orang ditahan dalam protes pro-Palestin di pusat bandar raya London selepas penganjur enggan membatalkan tunjuk perasaan itu susulan serangan di sebuah rumah ibadat Yahudi awal minggu ini, lapor portal berita MailOnline semalam.
Menurut Polis Metropolitan, seramai 488 orang daripada 492 penunjuk perasaan yang ditahan itu menyokong kumpulan yang diharamkan, Palestine Action, manakala bakinya adalah kerana kesalahan lain seperti mabuk, menyerang atau dikehendaki polis.
Umur mereka yang ditahan adalah antara 18 hingga 89 tahun, kata polis.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menggesa kumpulan penganjur demonstrasi di Manchester dan London serta para peserta supaya menghormati kesedihan masyarakat Yahudi di Britain.
Ini kerana tunjuk perasaan yang diadakan kelmarin itu dikhuatiri boleh menambah luka kepada mereka yang sedang berkabung selepas rumah ibadat Yahudi di Manchester diserang oleh dua suspek, Jihad Al-Shamie, 35, dan Adrian Daulby pada Khamis lalu.
Kedua-dua suspek itu ditembak mati oleh polis.
Namun, protes di London tetap diteruskan, khususnya kempen bagi menentang pengharaman rangkaian kumpulan Palestine Action.
Protes itu dianjurkan oleh kumpulan Defend Our Juries, sebuah kumpulan aktivis yang mendedahkan ketidakjujuran kerajaan Britain dan ketamakan syarikat korporat.
Menjelang pukul 3.45 petang (waktu tempatan), polis menahan 175 orang kerana menyatakan sokongan kepada kumpulan yang diharamkan itu, kebanyakannya kerana memegang papan tanda bertulis: “Saya menentang pembunuhan beramai-ramai, saya menyokong Palestine Action.” – AFP/AGENSI