PETALING JAYA – Dunia sekali lagi menyaksikan kebangkitan solidariti global apabila ribuan rakyat di pelbagai negara bangkit mengecam layanan kasar rejim Israel terhadap aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg, yang ditahan bersama lebih 300 sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini.
Terdahulu, bebebrapa sukarelawan GSF yang berjaya dibebaskan mendedahkan bahawa Greta, 22, diseksa secara fizikal dan psikologi semasa dalam tahanan.
Rata-ratanya menyifatkan Greta dilayan seperti haiwan oleh rejim Zionis termasuklah wanita itu dipukul dengan sangat kuat tanpa belas ihsan.
Menurut peserta dari Turkiye, Ersin Celik memberitahu bahawa dia menyaksikan Greta diseret di atas tanah dan dipaksa mencium bendera Israel.
Kejadian itu turut dikongsikan oleh delagasi Malaysia, Hazwani Helmi serta wakil Amerika Syarikat, Windfield Beaver yang menyatakan bahawa Greta telah digunakan sebagai propaganda dan dilayan dengan sangat kejam.
Kata Beaver, dia melihat sendiri bagaimana mereka memukul Greta sesuka hati dan mengikatnya pada troli sebelum diseret.
Tambahnya, Greta dibawa ke bilik tertutup di mana Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir dikatakan turut hadir ke ruang itu.
“Ben-Gvir masuk ke dalam bilik bersama dia (Greta). Kami hanya mampu mendengar jeritan. Ia sangat menakutkan,” kongsinya.
Sebelum ini, Kementerian Luar Israel menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan sepenuhnya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di media sosial, tanda pagar #StandWithGreta, #FreeGreta, #ClimateActivismIsNotACrime serta #FreeTheFlotilla kini trending di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, Turkiye, United Kingdom, Sweden dan Afrika Selatan.
“Dari Malaysia hingga ke seluruh dunia, kami berdiri bersama Greta. Dia lawan untuk bumi, untuk kita semua. Tapi sekarang dia dikurung kerana kebenaran. Kami takkan senyap,” kata Noor Azean Ishak.
“Bebaskan aktivis keadilan iklim yang autistik dan bipolar, Greta Thunberg serta rakan-rakannya. Pemimpin dunia mesti bertindak sekarang demi kebebasan mereka!,” tegas Jaki.
Seorang lagi pengguna media sosial, Wan Khairidah mendedak Kerajaan Sweden serta pemimpin dunia yang lain untuk segera bertindak membebaskan Greta dari seksaan Israel.
“Suara kebenaran tidak boleh disenyapkan. Dunia mesti bersatu dan menuntut keadilan.
Kami mendesak Kerajaan Sweden mengambil tindakan segera untuk membebaskan Greta.
“Beliau telah dilayan dengan kejam dan tidak adil oleh tentera Israel, terlalu zalim untuk seseorang yang hanya berjuang demi kelestarian planet kita. Bersuara demi bumi bukanlah satu jenayah. Dunia mesti bersatu, bebaskan Greta sekarang! Sweden, bertindaklah segera. Dunia sedang memerhati,” katanya.
Greta, yang terkenal dengan keberaniannya memperjuangkan isu perubahan iklim di peringkat antarabangsa turut bersama lebih 400 sukarelawan seluruh dunia menyertai misi GSF sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE