NOTTINGHAM – Pengendali Nottingham Forest, Ange Postecoglou mengakui tiada tekanan dalam usaha memburu kemenangan pertama menjelang aksi menentang Newcastle United di St. James Park malam ini.
Sebagai rekod, Postecoglou yang baru dilantik sebagai pengurus baharu Forest masih gagal membantu pasukan menang dalam lima perlawanan kompetitif yang diharungi sejak bulan lalu.
Bekas pengendali Tottenham Hotspur itu berkata, tekanan adalah sebahagian daripada bola sepak tetapi fokusnya sekarang adalah untuk membantu pasukan kembali berada pada landasan kemenangan.
“Memecat jurulatih adalah jalan terakhir yang bakal dilakukan oleh mana-mana pengurusan jika pasukan tidak mencapai prestasi yang diharapkan.
“Secara jujur, saya tahu saya bakal dipecat ketika bersama Tottenham empat bulan awal tetapi ia tidak menghalang saya untuk membantu mereka menang (trofi Liga Europa).
“Justeru, saya kekal realistik kerana saya mahu menang sesuatu dengan kelab ini dan fokus saya adalah untuk pastikan pemain sedia memberi cabaran di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Postecoglou mengakui aksi menentang Newcastle boleh dianggap sukar kerana pasukan itu kembali berada pada tahap terbaik.
“Bukan mudah untuk menang di gelanggang keramat Newcastle. Namun, saya percaya dengan kualiti pemain untuk pastikan kita dapat keputusan positif,” katanya. – AGENSI