TUJUH peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sudah pun berlalu dengan perlumbaan peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur hari ini bakal menentukan pelumba yang bakal ditabalkan juara keseluruhan (GC).
Ketika peloton sedang menuju ke ibu negara, segala strategi, titisan peluh serta pengorbanan dilakukan sepanjang tujuh hari terdahulu bakal diuji dalam satu perlumbaan yang menjanjikan penamat penuh klimaks.
Selepas pendakian di Bukit Fraser pada peringkat kelima selain menempuh jarak terpanjang dari Melaka ke Medini semalam menyaksikan beberapa pelumba masih bersaing untuk mendapatkan gelaran Raja LTdL 2025.
Saingan peringkat kelapan yang melibatkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian dengan jarak sejauh 180.2 kilometer (km) itu bakal menguji setiap pelumba kerana bakal berdepan selekoh teknikal dan angin lintang.
Kebijaksanaan pelumba amat dituntut dalam perlumbaan hari ini kerana ia bukan sahaja memerlukan kayuhan pantas, malah ia boleh dianggap sebagai ‘perang’ strategi bagi menjadi yang pertama melintasi garisan penamat.

Bagaimanapun, perebutan jersi hijau selaku juara keseluruhan tidak hanya bergantung kepada keputusan semata-mata kerana catatan masa keseluruhan sepanjang lapan peringkat perlumbaan akan diambil kira.
Percaturan serta strategi pasukan dijangka menjadi ‘kunci’ bagi membantu pelumba masing-masing yang sedang mencabar kedudukan teratas keseluruhan untuk ditabalkan sebagai pelumba terbaik edisi ke-29 itu.
Selain jersi hijau, perebutan jersi oren selaku Raja Pecut juga bakal menjadi perhatian terutamanya selepas penyandang gelaran, Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana menarik diri akibat kemalangan di peringkat keenam kelmarin.
Menara Berkembar Petronas (KLCC) bakal menjadi saksi siapa yang akan bergelar juara keseluruhan LTdL 2025 memandangkan peringkat kelapan bakal menamatkan saingan di hadapan bangunan ikonik itu. – KOSMO! ONLINE