SEBERANG PERAI – “Arwah abang tidak pandai memandu, dia cuma teman rakannya yang juga pemandu kereta itu.”
Demikian menurut Mohd. Arif Ahmad Lin, 31, adik bongsu kepada mangsa, Mohd. Fitri, 35, yang rentung dalam kemalangan di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Sungai Dua di sini, semalam.
Menurut Mohd. Arif, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah abang adalah sebelum hari kejadian berlaku memandang mereka tinggal bersama keluarga di Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda di Kedah.
Katanya lagi, arwah abangnya sememangnya dikenali sebagai seorang individu yang ringan tulang dan rajin mengemas rumah.
“Dia (Mohd. Fitri) seorang yang rajin. Kerja rumah memang semua dia yang buat. Dia tak suka kalau rumah bersepah, pasti dia akan kemaskan.
“Arwah memang ada ramai kawan dan memang ‘simple’ orangnya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan identiti seorang daripada dua mangsa yang rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Sungai Dua di sini, semalam dikenal pasti sebagai Mohd. Fitri. – KOSMO! ONLINE