fbpx
Sekolah Le Rosey

5 sekolah berasrama penuh termahal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDIDIKAN merupakan keperluan asas yang sangat dititikberatkan dalam kehidupan. Oleh itu, tidak hairanlah ramai ibu bapa sanggup mengorbankan wang ringgit demi memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak. Kita juga dapat lihat para pelajar bersaing sengit untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan. Bagi mereka yang bergelar bangsawan dan jutawan, mereka mempunyai kelebihan dari segi kewangan untuk ‘melabur’ dalam pendidikan anak-anak dengan menghantar anak-anak ke sekolah terbaik meskipun kosnya sangat mahal. Minggu ini, CitaRasa kongsikan lima sekolah berasrama penuh termahal dunia seperti dilaporkan oleh AdmissionSight.

1- Sekolah Le Rosey

TERLETAK di Rolle, Switzerland, Le Rosey ditubuhkan pada tahun 1880 merupakan salah satu sekolah berasrama penuh elit dunia dengan kampus yang indah berhampiran Tasik Geneva. Sekolah ini menggunakan dwibahasa pengantar iaitu Perancis dan Inggeris yang menarik keluarga bilionair.

Antara kemudahan yang disediakan seperti kolam renang, kandang kuda dan juga teater. Salah satu ciri unik Le Rosey ialah mempunyai program ‘kampus terapung’ iaitu pelajarnya menghabiskan sebahagian daripada tahun akademik di kampus antarabangsa yang turut menawarkan peluang menikmati panorama Swiss Alps. Yuran bagi setahun pengajian mencecah kira-kira AS$150,000 (RM631,000).

2- Kolej Aiglon

Di kedudukan kedua ialah Kolej Aiglon, Switzerland. Sekolah ini menghadap pemandangan gunung yang menakjubkan yang terletak di perkampungan Chesiere.

Ditubuhkan pada 1949, Aiglon menawarkan pendidikan dalam gaya British serta pengajaran dalam bahasa Inggeris. Ia menyediakan program akademik International Baccalaureate (IB) dan Swiss Maturité. Antara kemudahan yang disediakan ialah kolam renang, gelanggang ais dan teater. Yurannya adalah sekitar AS$140,000 (RM589,000) setahun

3- Sekolah St. George Switzerland

SEKOLAH St. George yang terletak di luar bandar Moudon, Switzerland dengan pemandangan menawan berada di tangga ketiga. Ditubuhkan pada 1907, pelajar di institusi pengajian ini datang dari seluruh pelosok dunia. Kurikulum yang diterapkan di sekolah ini adalah berdasarkan tradisi Inggeris, ditambah dengan aktiviti wajib dalam sukan, muzik, drama dan kelab.

Salah satu perkara yang menjadikan St. George istimewa adalah ia merupakan sekolah pendidikan luar (outdoor). Oleh itu, aktiviti seperti ski, mendaki bukit dan panjat tebing adalah sebahagian kurikulum mereka untuk menerapkan nilai dan kemahiran kerja berpasukan. Yuran yang ditetapkan adalah sekitar AS$120,000 (RM505,000) setahun.

4- Choate Rosemary Hall

KEEMPAT ialah Choate Rosemary Hall atau lebih dikenali sebagai Choate yang merupakan sekolah berasrama penuh sangat dihormati terletak di Wallingford, Connecticut, Amerika Syarikat (AS). Ia ditubuhkan pada tahun 1896.
Ia ‘mengahwinkan’ pendidikan seni liberal tradisional dengan ahli akademik yang ketat dalam program pembangunan peribadi mewah. Sekolah ini juga membuka peluang kepada semua pelajar dari seluruh dunia tidak mengira jantina untuk belajar di situ.

Choate menonjolkan kemahiran kepimpinan melalui khidmat masyarakat dan penglibatan sivik. Ia sekali gus menyemai semangat kekitaan dalam kalangan pelajarnya. Sekolah ini mengenakan yuran kira-kira AS$69,370 (RM292,000) setahun.

5- Sekolah Lawrenceville

KELIMA yang berada dalam senarai ialah Sekolah Lawrenceville yang terletak di Lawrenceville, New Jersey, Amerika Syarikat. Ia merupakan antara sekolah berasrama penuh terbaik di dunia sejak 1810 dan salah satu sekolah tertua di negara itu.

Sekolah ini menawarkan pendidikan dalam tradisi seni liberal serta mengumpulkan komuniti pelajar dari seluruh dunia yang melibatkan pelajar lelaki dan perempuan untuk mencapai rekod prestasi akademik yang cemerlang.

Di sini, pelajar dipersiapkan untuk kemasukan ke universiti terkemuka dengan pelbagai jenis kursus penempatan lanjutan. Pelbagai aktiviti kokurikulum disediakan di sekolah ini termasuk sukan, muzik, teater dan kelab. Selain itu, turut disediakan kemudahan seperti kolam renang, padang sukan dan juga teater.

Yuran setahun sekitar AS$60,000 (RM252,000).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN