PETALING JAYA – Aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel dinafikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan selain tidak dibenarkan bertemu peguam.
Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) mendedahkan, beberapa peserta diproses tanpa konsultasi undang-undang daripada pihak Adalah kerana para peguam pada awalnya dinafikan akses kepada mereka.
Ia berlaku selepas flotila tersebut ditunda secara paksa berikutan pemintasan yang tidak sah oleh Israel di perairan antarabangsa.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, peguam Adalah bertemu dengan 331 peserta GSF di Pelabuhan Ashdod, yang mana mereka berdepan dengan perbicaraan di hadapan pihak berkuasa imigresen Israel.
“Selepas penculikan dari perairan antarabangsa, peserta dipaksa berlutut dengan tangan diikat menggunakan ‘zip tie’ sekurang-kurangnya lima jam, selepas sebahagian mereka melaungkan “Bebaskan Palestin”,” menurut Adalah.
Semasa lawatan peguam, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir tiba dengan jelas bertujuan melakukan penghinaan dan intimidasi.
“Peserta flotila telah dirakam dan dieksploitasi dalam paparan yang merendahkan maruah. Tindakan penghinaan ini berlaku seiring dengan kempen fitnah berterusan oleh pegawai Israel.
“Secara palsu melabelkan ahli flotila sebagai pengganas bagi menjejaskan misi aman mereka dan menghalalkan taktik bersifat menekan yang digunakan terhadap peserta GSF,” kata kenyataan itu.
Adalah menegaskan, keseluruhan proses berkenaan adalah tidak sah dari awal hingga akhir termasuk pemintasan itu sendiri melanggar undang-undang antarabangsa.
“Seterusnya, penculikan di perairan antarabangsa. Percubaan Israel untuk menghalalkan tindakan ini melalui penguatkuasaan kepungan tidak boleh diterima.
“Kepungan itu sendiri adalah haram, merupakan satu bentuk hukuman kolektif dan menjadi alat utama dalam pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku, termasuk penggunaan kebuluran secara sengaja sebagai kaedah peperangan,” tegas Adalah.
Menurut Adalah, ketika lokasi sukarelawan flotila masih tidak diketahui, peguam telah ditinggalkan menunggu kira-kira sembilan jam di luar Pelabuhan Ashdod.
“Peguam tidak dimaklumkan apabila pihak imigresen Israel mula memproses dan mengendalikan perbicaraan, malah hanya mengetahuinya selepas para tahanan sendiri menghubungi mereka.
“Walaupun berulang kali dinafikan kemasukan oleh polis Israel, peguam Adalah akhirnya berjaya masuk ke pelabuhan dan memberikan konsultasi kepada 331 peserta.
“Beberapa peserta turut melaporkan bahawa mereka berdepan dengan pencerobohan, ugutan dan gangguan, termasuk dikejutkan secara kasar setiap kali mereka cuba tidur,” kata Adalah.
Pihak berkuasa kemudian memindahkan peserta GSF dari Ashdod ke Penjara Ktzi’ot di Naqab (Negev) dan memulakan perbicaraan tribunal tanpa memaklumkan pasukan guaman, malah meneruskannya sepenuhnya tanpa sebarang representasi undang-undang.
“Peguam Adalah kini berada di dalam perbicaraan tribunal, di mana perintah penahanan sedang disemak.
“Adalah sedang mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan setiap peserta dikenal pasti, di samping meneruskan lawatan ke penjara.
“Adalah juga menyeru agar mereka dibebaskan segera daripada penahanan tidak sah ini serta pemulangan semula barangan peribadi dan bekalan bantuan kemanusiaan mereka,” menurut Adalah. – KOSMO! ONLINE